PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan

SUSULAN ADUAN BAU HANGIT JAS JOHOR SERBU PREMIS DALAM OPERASI BERSEPADU – TIADA KOMPROMI TERHADAP PENJENAYAH ALAM SEKITAR!

JAS JOHOR 29/12/2025 2 hits

Paparan Keseluruhan

Tajuk
SUSULAN ADUAN BAU HANGIT JAS JOHOR SERBU PREMIS DALAM OPERASI BERSEPADU – TIADA KOMPROMI TERHADAP PENJENAYAH ALAM SEKITAR!
Tahun
2025
Organisasi
JAS JOHOR
Lokasi
JOHOR BAHRU

Penerangan

JOHOR BAHRU, 24 Disember 2025 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor terus memperkasakan gerak kerja di lapangan dengan melancarkan Operasi Pemantauan Bersepadu secara besar-besaran bermula jam 3.00 petang hingga 7.00 malam tadi. Operasi kali ini memperlihatkan sinergi mantap antara JAS Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM - Balai Polis Kempas) dan Bahagian Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menjejak punca gangguan bau hangit yang dikesan awal pagi tadi. Hasil serbuan intensif di Kawasan Perindustrian Maju Jaya telah berjaya membongkar aktiviti pembakaran terbuka pelbagai jenis sampah oleh sebuah kilang kejuruteraan. Susulan itu, JAS Negeri Johor telah mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Walaupun aktiviti pembakaran tersebut dikenal pasti bukan punca utama bau hangit yang dilaporkan, tindakan tanpa kompromi tetap diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang yang ketat. Operasi diteruskan dengan serbuan ke atas sebuah premis kitar semula barang lusuh di Jalan Kempas Lama yang disyaki menjadi punca pencemaran. Meskipun tiada bau abnormal dikesan semasa pemeriksaan, premis tersebut didapati melakukan kesalahan serius kerana memiliki dan menyimpan buangan terjadual (e-waste) secara haram. Tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh JAS ke atas stor e-waste tanpa permit tersebut, manakala MBJB mengenakan tindakan susulan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan. JAS Negeri Johor menegaskan bahawa siasatan akan terus dipergiat dan tidak akan berhenti sehingga punca utama pencemaran dikenal pasti dan ditangani sepenuhnya. Pihak Jabatan menyeru kepada seluruh masyarakat agar menjadi "mata dan telinga" kepada Jabatan dengan menyalurkan sebarang maklumat, bukti gambar, atau lokasi mencurigakan yang berkaitan dengan aktiviti pencemaran. Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil demi kesejahteraan awam.