Koleksi Gambar / Aktiviti
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- SESI PERBINCANGAN DAN TAKLIMAT OLEH JABATAN ALAM SEKITAR BERKENAAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) BAB 20 - PENYITAAN, PELUCUTHAKAN, PELUPUSAN DAN PELEPASAN BARANG KES BERSAMA SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)
- Tahun
- 2026
- Organisasi
- JASNS
- Lokasi
- SEREMBAN
Penerangan
3 Jun 2026, Seremban - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah mengadakan sesi taklimat berkenaan Prosedur Operasi Standrad (SOP) Bab 20 - Penyitaan, Pelucuthakan, Pelupusan dan Pelepasan Barang Kes Bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi kes-kes pemprosesan buangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) haram di Negeri Sembilan khususnya.
Sesi taklimat tersebut turut membincangkan berkenaan tatacara yang betul dalam merampas dan merekod barang kes semasa serbuan atau operasi bagi tujuan penyitaan, proses undang-undang untuk melucutkan hak ke atas barang kes kepada Kerajaan Malaysia, menyemak SOP spesifik bagi memusnahkan atau melupuskan barang kes mengikut kaedah yang ditetapkan dan menyemak garis panduan pemulangan barang kes kepada pemilik yang sah apabila kes telah selesai atau dibebaskan oleh mahkamah.
SOP ini diselia dan diaudit oleh EAIC untuk memastikan setiap agensi penguatkuasaan mematuhi garis panduan undang-undang dan mengelakkan sebarang salah laku atau ketirisan. Agensi yang menggunapakai SOP ini antaranya ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Selain daripada itu, SOP ini adalah penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan mematuhi tadbir urus yang telus, akauntabiliti yang tinggi, dan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan dalam membanteras aktiviti membawa masuk dan memproses e-waste haram di Negeri Sembilan Khususnya.
SOP yang mantap berfungsi sebagai garis panduan utama bagi agensi penguatkuasaan dalam menjalankan tugas-tugas kritikal seperti operasi penyitaan, pelucuthakan, pelupusan, dan pelepasan barang kes dengan betul dan mengikut lunas undang-undang.