Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- LAPORAN SIASATAN ADUAN BAU ASAP BERKAITAN KEBAKARAN TERBUKA SAMPAH SARAP DI JALAN SIJANGKANG UTAMA, DAERAH KUALA LANGAT
- Tahun
- 2026
- Organisasi
- JAS SELANGOR
- Lokasi
- SIJANGKANG
Penerangan
Pada 15 Jun 2026, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Sepang telah menjalankan siasatan susulan aduan bau asap di sekitar Jalan Sijangkang Utama, Kuala Langat. Di lokasi pertama, pemeriksaan mendapati kerja-kerja penambakan tanah menggunakan sisa pembinaan sedang dijalankan oleh kontraktor yang mempunyai Surat Tiada Halangan daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL). Pihak JAS telah menasihatkan pihak syarikat supaya tidak membenarkan longgokan sampah sarap di kawasan tersebut bagi mengelakkan risiko pembakaran terbuka yang boleh mengganggu penduduk setempat.
Di lokasi kedua, didapati berlaku kebakaran terbuka melibatkan longgokan sampah sarap di atas Lot 11304, 11305 dan 11626. Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang sedang menjalankan operasi pemadaman, namun menghadapi kekangan sumber air dan memerlukan bantuan jentera excavator untuk membantu kerja-kerja pemadaman. Menurut pihak JBPM, kejadian ini merupakan insiden berulang dan telah berlaku sebanyak tiga kali di kawasan yang sama.
Hasil pemeriksaan mendapati lot-lot berkenaan terbiar tanpa kawalan serta dipenuhi longgokan sampah sarap yang dipercayai dibuang oleh pihak ketiga dan pencari besi buruk sebelum dibakar untuk mendapatkan logam. Tiada unsur e-waste atau buangan terjadual ditemui di lokasi. Semakan lanjut mendapati MPKL telah mengeluarkan Notis Menghapuskan Kacau Ganggu kepada pemilik tanah, manakala JAS berpendapat isu ini berpunca daripada ketiadaan kawalan akses dan pemantauan yang membolehkan aktiviti pembuangan serta pembakaran sampah berulang.