PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan

OPS GEMPUR Q2/2026 JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI PERAK

JAS PERAK 01/07/2026 3 hits

Paparan Keseluruhan

Tajuk
OPS GEMPUR Q2/2026 JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI PERAK
Tahun
2026
Organisasi
JAS PERAK
Lokasi
PERAK

Penerangan

12 JUN 2026, PERAK – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak telah menggerakkan Operasi Penguatkuasaan Ops Gempur Q2/2026 secara berfokus melibatkan tujuh (7) pasukan penguatkuasaan dengan penglibatan 20 orang pegawai. Operasi Gempur yang dijalankan pada 10 dan 11 Jun 2026 ini menumpukan kepada pemantauan dan pemeriksaan lapangan terhadap premis-premis industri yang memproses tayar terpakai (pirolisis) bagi memastikan tahap pematuhan yang ketat terhadap peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Pemeriksaan bersepadu secara serentak ke premis-premis terlibat turut disertai agensi-agensi lain seperti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Batu Gajah, Jabatan Kesihatan dan Pekerjaan Negeri Perak dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 13 premis telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, 3 premis didapati mematuhi piawaian perundangan, manakala 10 premis lagi dikesan melakukan ketidakpatuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan. Susulan daripada ketidakpatuhan tersebut, pihak JAS tidak berkompromi dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan tegas yang merangkumi pengeluaran 13 Arahan Lapangan (Field Citation), 13 Notis Arahan, tiga belas (13) tawaran kompaun, enam (6) tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan enam (6) penyediaan kertas siasatan. Tindakan ini diambil bagi memastikan elemen pembetulan dan pencegahan dilaksanakan serta-merta oleh pihak industri. Pelaksanaan Ops Gempur ini adalah manifestasi komitmen berterusan JAS dalam memperkasa pematuhan perundangan di kalangan pemain industri, di samping memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar. Operasi penguatkuasaan dan pemantauan berkala akan terus dilipatgandakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelestarian alam sentiasa terpelihara demi kesejahteraan masyarakat.