Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- KENYATAAN MEDIA JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI PERAK
- Tahun
- 2026
- Organisasi
- JAS PERAK
- Lokasi
- PERAK
Penerangan
IPOH, 12 Jun 2026 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak telah melaksanakan Operasi Gempur (OPS Gempur) pada suku kedua Tahun 2026. OPS Gempur pada kali ini dijalankan selama 2 hari pada 10 dan 11 Jun 2026 dengan memfokuskan kepada premis-premis industri memproses tayar terpakai (pirolisis) di Negeri Perak supaya mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Premis-premis yang menjalankan industri pirolisis berpotensi menimbulkan pencemaran kepada alam sekitar seperti pencemaran udara, air dan buangan terjadual. OPS Gempur ini melibatkan 7 pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak dengan kekuatan anggota seramai 20 pegawai. Agensi-agensi lain turut bersama-sama menyertai Ops Gempur pada kali ini ialah Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Batu Gajah, Jabatan Kesihatan dan Pekerjaan Negeri Perak dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.
Tindakan Ke Atas Premis Yang Digempur
Sebanyak 13 premis yang dikategorikan di bawah industri pirolisis telah diperiksa semasa OPS Gempur tersebut. Hasil keseluruhan pemeriksaan yang dijalankan didapati 10 premis tidak mematuhi pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala 3 lagi premis adalah patuh. Sehubungan dengan itu, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan tiga belas (13) arahan di lapangan (Field Citation), tiga belas (13) notis arahan, tiga belas (13) tawaran kompaun, enam (6) penahanan operasi kelengkapan (POK) dan enam (6) kertas siasatan akan disediakan ke atas premis-premis yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
Pemantauan dan Penguatkuasaan Ke Atas Industri
JAS akan terus menjalankan penguatkuasaan secara berterusan terhadap industri-industri yang beroperasi di seluruh Negeri Perak. Selain pemeriksaan berjadual dan OPS Gempur, operasi berkala turut dilaksanakan pada waktu malam dan awal pagi bagi memastikan pematuhan industri sepanjang masa.
Komitmen JAS
JAS Negeri Perak komited dalam menjalankan peranannya sebagai agensi penguatkuasaan alam sekitar dengan terus memantau, mengawal dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran. Semua pengusaha industri diingatkan bahawa tindakan undang-undang di bawah AKAS 1974 akan dikenakan ke atas mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan dan menyebabkan pencemaran alam sekitar.
JAS menyeru semua pihak terutamanya pemain-pemain industri di Negeri Perak sentiasa bekerjasama dalam usaha memelihara kualiti alam sekitar demi kesejahteraan bersama.
PENGARAH
JABATAN ALAM SEKITAR PERAK
12 JUN 2026