Koleksi Gambar
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang Meriahkan Karnival Komuniti KADUN Sungai Dua 2026
- Tahun
- 2026
- Organisasi
- KADUN Sungai Dua
- Lokasi
- Sungai Dua
Penerangan
SUNGAI DUA, 19 Julai 2026 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang telah menyertai Karnival Komuniti KADUN Sungai Dua 2026 yang berlangsung di Dewan Besar Sungai Dua atas jemputan penganjur. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tasek Gelugur bagi mengeratkan hubungan komuniti melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan berinformasi.
Sempena karnival ini, JAS Negeri Pulau Pinang telah membuka reruai pameran alam sekitar serta mengadakan Program Pengumpulan Sisa Elektrik dan Elektronik Isi Rumah (Household E-Waste). Kehadiran pengunjung ke reruai JAS amat menggalakkan apabila mereka mengambil peluang untuk mendapatkan maklumat mengenai pemeliharaan alam sekitar, pendaftaran keahlian Rakan Alam Sekitar, pengurusan sisa elektrik dan elektronik yang betul serta kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dalam kehidupan seharian.
Program kutipan e-waste yang diadakan turut mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat. Penduduk membawa pelbagai barangan elektrik dan elektronik yang tidak lagi digunakan untuk dilupuskan secara selamat dan mesra alam. Inisiatif ini membantu mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kaedah pelupusan e-waste yang betul.
Karnival Komuniti KADUN Sungai Dua 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan semua lapisan masyarakat, antaranya pertandingan mewarna bagi murid sekolah rendah, pertandingan pakaian tercantik bertemakan World Cup, World Cup Zumba Dance, serta pelbagai aktiviti rekreasi dan kekeluargaan yang berjaya menarik penyertaan serta kehadiran masyarakat setempat.
Penyertaan JAS Negeri Pulau Pinang dalam program seumpama ini merupakan salah satu usaha berterusan jabatan dalam memperkasakan pendidikan alam sekitar serta mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih santai dan interaktif.
Diharapkan usaha ini dapat memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam memelihara kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur atas jemputan dan kerjasama yang diberikan, serta mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang telah singgah ke reruai JAS dan menyokong Program Pengumpulan Household E-Waste.