Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- OPERASI PEMERIKSAAN KONTENA DI PELABUHAN KLANG OLEH JABATAN ALAM SEKITAR (JAS) NEGERI SELANGOR
- Tahun
- 2026
- Organisasi
- JAS SELANGOR
- Lokasi
- PELABUHAN KLANG
Penerangan
Operasi Pemeriksaan Kontena di Pelabuhan Klang, Selangor telah dijalankan ke atas 79 buah kontena yang disyaki membawa buangan terjadual. Operasi yang dijalankan pada 21 dan 23 Julai 2026 tersebut melibatkan agensi-agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Hasil pemeriksaan mendapati 39 kontena membawa buangan terjadual yang mana 25 daripadanya adalah buangan elektrik dan elektronik (E-Waste). Tindakan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan bagi mengarahkan kontena yang membawa buangan terjadual tersebut keluar dari Malaysia.
Pemulangan kontena ini adalah amaran tegas bahawa Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan berbahaya merentasi sempadan selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
Orang ramai adalah diingatkan bahawa sebarang pengimportan buangan terjadual tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun penjara dan denda tidak kurang daripada RM 100,000.00 dan tidak melebihi RM 10 juta ringgit.