Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- LAPORAN SIASATAN & PEMERIKSAAN OPERASI LUSUH BERSEPADU IPD GOMBAK
- Tahun
- 2026
- Organisasi
- JAS SELANGOR
- Lokasi
- GOMBAK
Penerangan
14 Julai 2025 | Gombak
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Gombak telah menyertai Operasi Lusuh Bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (IPD Gombak), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Telekom Malaysia (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan ECRL bagi memeriksa beberapa premis yang menjalankan aktiviti besi buruk, barangan lusuh dan e-waste di sekitar daerah Gombak.
Pemeriksaan melibatkan beberapa premis termasuk Perniagaan Logam Sinar Maju Sdn. Bhd., Unique Asia (M) Sdn. Bhd., Eurojap Used Autoparts Sdn. Bhd., Mentari Enterprise Sdn. Bhd. dan Ecocytion (M) Sdn. Bhd.
Hasil pemeriksaan mendapati Perniagaan Logam Sinar Maju Sdn. Bhd. menjalankan aktiviti jual beli besi buruk dan barangan kitar semula serta menyimpan bateri terpakai (SW102) dalam kuantiti kecil. Sehubungan itu, satu Field Citation (FC) telah dikeluarkan bagi mengarahkan premis melupuskan buangan terjadual tersebut ke premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar serta tidak menerima atau menyimpan buangan terjadual tanpa kelulusan JAS.
Pemeriksaan ke atas Unique Asia (M) Sdn. Bhd., Eurojap Used Autoparts Sdn. Bhd. dan Mentari Enterprise Sdn. Bhd. mendapati premis menjalankan aktiviti jual beli besi buruk, barangan kitar semula dan alat ganti kenderaan terpakai. Kesemua premis mempunyai lesen yang sah daripada pihak berkuasa berkaitan dan tidak tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, Ecocytion (M) Sdn. Bhd. didapati beroperasi sebagai pusat pengumpulan e-waste yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar dan mematuhi sepenuhnya keperluan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Premis hanya menerima enam kategori e-waste yang diluluskan oleh JAS dan melupuskan buangan terjadual SW110 ke fasiliti yang dilesenkan. Satu Field Citation (FC) turut dikeluarkan sebagai langkah pemantauan dan pematuhan.
Secara keseluruhannya, operasi mendapati kebanyakan premis mematuhi keperluan perundangan dan memiliki lesen yang sah. JAS akan meneruskan pemantauan serta pemeriksaan berkala bagi memastikan semua premis terus mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.