Koleksi Gambar / Pengurusan JAS
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA PERINGKAT NEGERI PAHANG 2026
- Subjek
- Tahun
- 2026
- Tarikh Keluaran
- 21/07/2026
- Organisasi
- JAS NEGERI PAHANG
- Lokasi
- POLISAS KUANTAN
Penerangan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang dengan kerjasama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) telah menganjurkan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2026
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Encik Hishamudin bin Mohd. Tamim, Pengarah POLISAS, sebelum disempurnakan oleh YBrs. En. Zakaria bin Ahmad @ Mohd, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang.
Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru semua pihak agar terus memperkukuh kerjasama dalam usaha memelihara alam sekitar melalui pembudayaan amalan lestari serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Antaranya ialah pameran pendidikan alam sekitar yang disertai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan SWCorp Malaysia, yang memfokuskan kepada isu-isu alam sekitar, perubahan iklim, pengurusan sisa pepejal serta amalan kelestarian.
Program turut diisi dengan ceramah kesedaran yang disampaikan oleh wakil daripada JAS Negeri Pahang, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ceramah ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai penjagaan alam sekitar, fenomena cuaca dan perubahan iklim, di samping menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap dan lestari.
Sebagai salah satu tarikan program, Unit Kenderaan Bermotor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang telah mengadakan demonstrasi ujian paras bunyi motosikal. Demonstrasi ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kaedah pengukuran bunyi bising kenderaan bermotor serta kepentingan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan bagi mengawal pencemaran bunyi dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen dan kerjasama erat antara JAS Negeri Pahang dan POLISAS, bersama rakan strategik, dalam memperkukuh pendidikan alam sekitar serta membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan masyarakat.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak POLISAS, semua agensi yang terlibat, para peserta serta jawatankuasa pelaksana atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan sambutan ini.
“Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”. Marilah kita terus berganding bahu memelihara alam sekitar demi masa depan yang lebih hijau, bersih dan lestari.