Koleksi Gambar / Bengkel
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- BENGKEL PERBINCANGAN KUMPULAN FOKUS (FGD) BERSAMA PIHAK BERKEPENTINGAN SEKTOR PENYELENGGARAAN SISTEM PENYEJUKBEKUAN DAN PENYAMAN UDARA (RAC) SERTA SISTEM PENYAMAN UDARA KENDERAAN (MAC) BAGI MENYOKONG PROJEK PELAN PELAKSANAAN KIGALI (KIP) MALAYSIA PERINGKAT I
- Tahun
- 2026
- Tarikh Keluaran
- 20/08/2026
- Organisasi
- BAHAGIAN UDARA
- Lokasi
- PUTRAJAYA
Penerangan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menganjurkan Bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bersama pihak berkepentingan bagi Sektor Penyelenggaraan Sistem Penyejukbekuan dan Penyaman Udara (RAC) pada 18 Ogos 2026 dan Sektor Penyaman Udara Kenderaan (MAC) pada 19 Ogos 2026 di Putrajaya.
Bengkel ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan input daripada pihak industri serta agensi berkaitan mengenai perkembangan terkini, keperluan dan cabaran dalam sektor perkhidmatan penyelenggaraan RAC dan MAC di Malaysia.
Sesi bengkel ini telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Ryan Ooi Chean Weai, merangkap Ketua Seksyen Perlindungan Ozon, Bahagian Udara, JAS, dan turut disertai oleh Dr. Viraj Vithoontien, pakar Protokol Montreal dari Bank Dunia.
Sesi FGD ini telah dihadiri oleh para peserta yang terdiri daripada pihak berkepentingan dalam sektor RAC dan MAC.
Selain pembentangan mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Protokol Montreal di Malaysia oleh JAS, sesi ini turut merangkumi komponen utama perbincangan yang dikendalikan oleh pakar Protokol Montreal. Perbincangan terbuka ini memberi tumpuan kepada pengumpulan input teknikal, operasi dan industri yang lebih terperinci daripada sektor penyelenggaraan RAC dan MAC, khususnya berkaitan amalan terbaik, jurang kompetensi, keperluan keselamatan, peralatan latihan serta cabaran peralihan kepada refrigeran alternatif yang mempunyai Potensi Pemanasan Global (GWP) rendah.
Hasil perbincangan ini turut menyediakan maklumat asas bagi pembangunan modul latihan standard yang praktikal dan bersesuaian dengan keperluan industri, perkembangan teknologi terkini serta penggunaan refrigeran GWP rendah baharu yang mempunyai ciri mudah terbakar, toksik dan bertekanan tinggi dalam sektor berkaitan.
Secara keseluruhannya, FGD ini telah mencapai output yang disasarkan, khususnya bagi pembangunan kurikulum latihan baharu, kriteria pusat latihan bertauliah serta pelantikan koordinator RAC dan MAC. Hasil ini akan menyokong pelaksanaan KIP Peringkat I dalam memenuhi obligasi Malaysia di bawah Pindaan Kigali bagi mencapai sasaran pengurangan penggunaan HFC sebanyak 10% menjelang 2029.