Koleksi Gambar / Aktiviti
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- RONDAAN DARAT DAN OPERASI DRONE OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA (OMPT), PEMANTAUAN PUNCA PENCEMARAN DAN OPERASI CATAT DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
- Subjek
- Tahun
- 2026
- Tarikh Keluaran
- 24/08/2026
- Organisasi
- JAS WP LABUAN
- Lokasi
- WP LABUAN
Penerangan
W.P. LABUAN, 24 Ogos 2026 – Pasukan Penguat Kuasa Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (JASWPL) telah melaksanakan rondaan darat dan pemantauan menggunakan dron pada 22 dan 23 Ogos 2026 di bawah Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), pemantauan punca-punca pencemaran alam sekitar serta Operasi Catat, selaras dengan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Rondaan meliputi pelbagai lokasi tumpuan di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (WPL), termasuk kawasan perindustrian, pusat bandar, kawasan pembinaan, kawasan perumahan dan perkampungan, alur air, kawasan jeti dan pelabuhan, lokasi pendaratan kapal serta pesisir pantai. Pemantauan melalui dron turut dilaksanakan di kawasan yang bersesuaian bagi mendapatkan liputan pemantauan yang lebih menyeluruh, khususnya di kawasan yang sukar diakses melalui rondaan darat.
Pemantauan ini dilaksanakan bagi mengesan aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar, termasuk pembakaran terbuka, pelepasan pencemar serta sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar.
Di samping itu, Operasi Catat turut dilaksanakan di beberapa jalan utama di sekitar WPL bagi memantau pelepasan asap daripada kenderaan bermotor.
Pemeriksaan di kawasan perindustrian, pantai, sungai dan paya bakau turut dilaksanakan bagi mengesan sebarang petunjuk pencemaran alam sekitar, termasuk gumpalan tar (tar ball) dan lapisan minyak (oil sheen). Maklumat dan penemuan hasil rondaan darat serta pemantauan dron direkodkan untuk tindakan susulan sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang alam sekitar.
JASWPL menegaskan bahawa semua pihak hendaklah sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang alam sekitar dan tidak melakukan sebarang bentuk pencemaran. Kesalahan pembakaran terbuka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta, atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Kelestarian alam sekitar di Wilayah Persekutuan Labuan merupakan tanggungjawab bersama. Orang ramai amat digalakkan untuk turut serta menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar kepada Jabatan Alam Sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal eAduan JAS.
#NRES
#JabatanAlamSekitar
#JASWPLabuan
#AlamSekitarTanggungjawabBersama
#jaswplabuan_ogos_2026