Koleksi Digital / Penerbitan & Media
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- OPS BERSEPADU DAN PENAHANAN OPERASI KELENGKAPAN (POK) – SIASATAN ADUAN PENCEMARAN SUNGAI DI SEMENYIH, SELANGOR
- Subjek
- Tahun
- 2026
- Tarikh Keluaran
- 27/08/2026
- Organisasi
- JAS Selangor
- Lokasi
- Semenyih
Penerangan
Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Cawangan Kajang bersama pasukan penguatkuasa serta Unit Kesihatan dan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menjalankan operasi bersepadu susulan aduan awam berkaitan pencemaran sungai di kawasan Semenyih.
Hasil pemeriksaan di lokasi aduan mendapati terdapat sebuah kolam ikan bersebelahan sungai. Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sebuah premis tanpa lesen yang dipercayai telah menjalankan aktiviti berkaitan desludging sisa air tanah dan lumpur daripada aktiviti cucian.
Semasa pemeriksaan dijalankan, tiada pekerja atau wakil pengusaha berada di lokasi. Beberapa mesin dan kelengkapan ditemui di kawasan premis, namun jenis serta fungsi mesin berkenaan tidak dapat dikenal pasti pada ketika itu. Tiada bahan mentah atau produk siap ditemui dan tiada pelepasan efluen atau pencemaran aktif dikesan semasa pemeriksaan.
Berdasarkan maklumat pemilik tanah, tanah berkenaan berstatus komersial dan premis telah disewakan kepada pihak lain. Pemilik tanah turut memaklumkan bahawa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menjalankan pemeriksaan pada hari sebelumnya dan mengarahkan pihak premis melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan operasi.
Sehubungan itu, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) telah dikenakan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] ke atas kelengkapan mesin yang berkaitan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta mencegah kemungkinan berlakunya pencemaran berulang.
Arahan lapangan turut dikeluarkan bagi memastikan pematuhan terhadap kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Tindakan penguatkuasaan lanjut, termasuk pengeluaran Notis Arahan dan tindakan perundangan, boleh diambil berdasarkan hasil siasatan.
Sekiranya pihak premis didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah, hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan, tertakluk kepada peruntukan kesalahan yang berkenaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pada masa yang sama, MPKj turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen perniagaan, termasuk tindakan notis sitaan dan kompaun mengikut peruntukan undang-undang kecil yang berkaitan.
Secara keseluruhannya, operasi bersepadu ini telah mencapai objektif bagi menjalankan siasatan terhadap kemungkinan punca pencemaran serta memastikan aktiviti industri di kawasan berkenaan mematuhi kehendak perundangan alam sekitar dan pihak berkuasa tempatan.
JAS Selangor akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar dapat dikawal dan dibendung.