PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL (EDL) Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan

RONDAAN DARAT OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA (OMPT), PEMANTAUAN DRON, PEMANTAUAN PUNCA PENCEMARAN DAN OPERASI CATAT DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

JAS WP LABUAN 21/09/2026 22 hits

Paparan Keseluruhan

Tajuk
RONDAAN DARAT OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA (OMPT), PEMANTAUAN DRON, PEMANTAUAN PUNCA PENCEMARAN DAN OPERASI CATAT DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN
Subjek
pembakaran terbukaoperasiLabuan
Tahun
2026
Tarikh Keluaran
12/09/2026
Lokasi
Wilayah Persekutuan Labuan

Penerangan

Pasukan Penguat Kuasa Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (JASWPL) telah melaksanakan rondaan darat dan pemantauan menggunakan dron bagi Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) serta pemantauan punca-punca pencemaran alam sekitar, selaras dengan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Rondaan meliputi pelbagai lokasi tumpuan di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (WPL), termasuk kawasan perindustrian, pusat bandar, kawasan pembinaan, kawasan perumahan dan perkampungan, alur air, kawasan jeti dan pelabuhan, tapak pelupusan sampah serta pesisir pantai. Pemantauan ini dilaksanakan bagi mengesan aktiviti yang berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar, termasuk pembakaran terbuka, pelepasan pencemar serta sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar. Pemeriksaan di kawasan perindustrian, pantai, alur air dan paya bakau turut dilaksanakan bagi mengesan sebarang petunjuk pencemaran alam sekitar, termasuk gumpalan tar (tar ball) dan lapisan minyak (oil sheen). Maklumat dan penemuan hasil rondaan darat direkodkan untuk tindakan susulan sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang alam sekitar. JASWPL menegaskan bahawa semua pihak hendaklah sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang alam sekitar dan tidak melakukan sebarang bentuk pencemaran. Kesalahan pembakaran terbuka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta, atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. Kelestarian alam sekitar di Wilayah Persekutuan Labuan merupakan tanggungjawab bersama. Orang ramai amat digalakkan untuk turut serta menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar kepada Jabatan Alam Sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal eAduan JAS.