PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL (EDL) Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Digital / Penerbitan & Media

VIDEO OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA (OMPT) DI SEMENYIH

JAS SELANGOR 24/09/2026 29 hits

Paparan Keseluruhan

Tajuk
VIDEO OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TERBUKA (OMPT) DI SEMENYIH
Subjek
OPERASI MENCEGAH PEMBAKARAN TURBUKA (OMPT)
Tahun
2026
Tarikh Keluaran
24/09/2026
Organisasi
JAS Selangor
Lokasi
SEMENYIH

Penerangan

Susulan aduan penduduk di kawasan Diamond City Semenyih, Semenyih Lake Country, Taman Mayuri, Taman Tasik Semenyih dan University of Nottingham Malaysia berhubung bau tengik daripada pembakaran plastik yang dikesan pada waktu malam, satu operasi telah digerakkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor. Aduan tersebut diterima dalam tempoh dua minggu dan mendapati bau hasil pembakaran plastik telah menjejaskan kualiti udara di kawasan sekitar, khususnya ketika keadaan berjerebu. Operasi yang diketuai oleh Ketua Cawangan JAS Kajang itu dilaksanakan bagi mengesan punca pencemaran serta menghentikan aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku. Hasil rondaan dan siasatan berdasarkan arah angin serta keadaan muka bumi di sekitar kawasan berdekatan Bukit Broga membawa kepada penemuan sebuah lokasi yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pembakaran kabel. Lokasi aktiviti tersebut berjaya dikesan hasil daripada rondaan dan maklumat daripada orang awam dan pasukan operasi menemukan sisa kabel dan kesan plastik yang telah cair akibat pembakaran pada skala besar. Berdasarkan pemerhatian di lokasi, kawasan berkenaan dipercayai baru digunakan untuk aktiviti tersebut dalam tempoh kira-kira sebulan, berdasarkan kesan kerja tanah yang masih baharu. Tindakan pencegahan telah diambil serta-merta oleh JAS Selangor bagi menghentikan pencemaran udara. Siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 29(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengenal pasti pihak yang terlibat serta pemilik tanah berkenaan. Agensi berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), turut akan dimaklumkan bagi membolehkan pemantauan berterusan dilaksanakan serta tindakan sewajarnya diambil terhadap aktiviti kecurian kabel dan pembakaran terbuka. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga stesen berhampiran, iaitu Nilai, Putrajaya dan Cheras, berada pada tahap tidak sihat berikutan keadaan berjerebu. Sehubungan dengan itu, orang awam dan pihak industri diingatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara, khususnya ketika keadaan berjerebu. Semua pemilik tanah juga bertanggungjawab memastikan tanah atau premis milik mereka tidak dicerobohi atau dimasuki oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka atau aktiviti lain yang boleh mencemarkan alam sekitar.