Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- LAPORAN SIASATAN ADUAN PENCEMARAN DAN RONDAAN OMPT JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SELANGOR CAWANGAN GOMBAK
- Subjek
- Tahun
- 2026
- Tarikh Keluaran
- 03/11/2026
- Organisasi
- JAS Selangor
- Lokasi
- Gombak
Penerangan
Pada 24 Oktober 2026 (Sabtu), jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Gombak telah menjalankan siasatan aduan dan rondaan pemantauan berkaitan pembakaran terbuka serta pencemaran udara di sekitar Rasa, Hulu Selangor dan Sungai Buloh. Siasatan di kawasan kebun terbiar di Rasa, Selangor (Koordinat: 3.498176, 101.654074) menggunakan dron tidak menemui sebarang tapak pelupusan sampah haram atau aktiviti pembakaran terbuka, namun pemeriksaan menghadapi kekangan berikutan kawasan hutan berbukit dan kebun persendirian yang sukar diakses. Siasatan di Jalan Sungai Buloh–Kuala Selangor, berhampiran kawasan perindustrian Elmina pula menemukan kesan kebakaran sisa kayu dan longgokan sampah haram di kawasan rizab jalan serta tanah lapang, namun tiada aktiviti pembakaran terbuka sedang berlaku semasa pemeriksaan. Sementara itu, di Jalan BRP 7/3B, Gombak, rondaan mendapati aktiviti pembakaran sisa plastik dan barangan rumah oleh penghuni kediaman. Nasihat supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka serta edaran brosur berkaitan larangan pembakaran terbuka telah diberikan kepada pemilik rumah. Rondaan di Kawasan Perindustrian Rasa, Bukit Beruntung dan BRP, Sungai Buloh turut dijalankan dan mendapati tiada pelepasan udara atau efluen yang mencurigakan serta tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan.
Secara keseluruhannya, hasil siasatan mendapati terdapat beberapa lokasi yang mempunyai kesan pembakaran sisa dan pembuangan sampah secara haram, selain satu aktiviti pembakaran sisa plastik di kawasan kediaman yang telah diberikan nasihat. Hasil siasatan akan dimajukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk perhatian dan tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing. PBT dan Pejabat Tanah Daerah juga disyorkan melaksanakan kerja-kerja pembersihan longgokan sampah haram di kawasan rizab jalan dan tanah lapang yang dikenal pasti serta meningkatkan pemantauan berkala bagi mencegah aktiviti pembuangan sampah haram dan kejadian pembakaran terbuka daripada berulang