Koleksi Gambar / Program Penguatkuasaan
Paparan Keseluruhan
- Tajuk
- LAWATAN KERJA PENGARAH JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SABAH KE KILANG KELAPA SAWIT GENTING JAMBONGAN, PULAU JAMBONGAN, SANDAKAN
- Tahun
- 2026
- Tarikh Keluaran
- 04/11/2026
- Organisasi
- JAS Sabah
- Lokasi
- Pulau Jambongan
Penerangan
LAWATAN KERJA PENGARAH JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI SABAH KE KILANG KELAPA SAWIT GENTING JAMBONGAN, PULAU JAMBONGAN, SANDAKAN
Pulau Jambongan, 29 Oktober 2026 – Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke Kilang Kelapa Sawit (KKS) Genting Jambongan yang terletak di Pulau Jambongan, Sandakan, Sabah pada 28-29 Oktober 2026. Lawatan kerja ini turut diiringi oleh pegawai-pegawai daripada JAS Cawangan Sandakan, Unit Lesen dan Unit Kebenaran Bertulis, JAS Negeri Sabah.
Lawatan kerja ini bertujuan meninjau pengoperasian kilang serta pelaksanaan langkah-langkah kawalan pencemaran dan pengurusan alam sekitar, khususnya dalam memastikan aktiviti pemprosesan kelapa sawit dilaksanakan selaras dengan keperluan perundangan alam sekitar yang berkuat kuasa.
Sepanjang lawatan tersebut, pihak pengurusan kilang telah memberikan taklimat berkaitan operasi pemprosesan buah tandan segar, pengurusan efluen kilang kelapa sawit serta pelaksanaan langkah-langkah kawalan pencemaran di premis berkenaan.
Lawatan turut merangkumi tinjauan ke loji pengkomposan bagi melihat secara lebih dekat kaedah pengurusan sisa industri kelapa sawit melalui proses pengkomposan. Pendekatan ini merupakan antara kaedah yang boleh dimanfaatkan bagi menguruskan bahan buangan organik serta menghasilkan bahan kompos yang berpotensi digunakan semula untuk tujuan pertanian.
Selain itu, sesi perbincangan bersama pihak pengurusan kilang turut memberi ruang kepada perkongsian maklumat berkaitan cabaran operasi, aspek pematuhan syarat lesen serta usaha penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar di premis.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan JAS Negeri Sabah dalam memperkukuh pemantauan pematuhan perundangan alam sekitar, di samping menggalakkan pelaksanaan amalan pengurusan sisa yang mampan dan bertanggungjawab dalam industri kelapa sawit.
JAS Negeri Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan KKS Genting Jambongan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang lawatan kerja ini.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#jassabah_okt2026
#alamsekitartanggungjawabbersama